Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah
Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat
kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar
ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw
berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita
hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah
menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita
tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit.
Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila
terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah
stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan.
Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita
tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir
sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan
kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula
terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita
melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna
kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk
‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita
tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan
takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir
itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis
dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah,
malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta
kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah
payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali
bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah
kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang
baik, Allah akan memberi yang baik.”
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu
yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu
keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir
dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat
ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita
sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil
lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus
berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan
di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu
sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita
maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu
akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita
gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak
akan mengecewakan kita!
Astaghfirullah ...